Belakangan, sebelum cuti pertengahan penggal ini bermula, kawan-kawan yang sudah hampir cukup nisab mula sibuk-sibuk tanya pasal borang DG44. Namun pekeliling terbaru menghantar rasa kecewa dalam hati-hati kami. Aku pun termasuklah sekali. Syarat-syarat yang lain lengkap dan jitu kecuali syarat pertama; berada di tangga gaji T10 pada tahun 2002. Gila apa? Kalau permulaan gaji guru-guru siswazah di tangga T07 atau T08 logiklah syarat itu dikenakan. Guru-guru siswazah berkelulusan selain akaun nampaknya boleh baca pekeliling sahajalah.
Aku yang memang cukup malas melayan borang-borang yang bukan sedikit yang perlu diisi untuk mencapai tahap DG44 selamba sahaja bersuara, "Alah, duit yang ada tak larat nak pikul" lalu menutup majalah NUTP dan kembalikan kepada tuannya, Kak Normah di sebelah. Kak Nab seperti biasa ketawa kecil sambil berkata,"Tak larat nak pikul ya, K."
Sejak daripada itu, setiap kali bercerita tentang duit, tambahan pula untuk persiapan raya dan ubahsuai rumah baru yang selalu jadi topik bualan hangat 'forum-forum-tak-rasmi-setiap-Jumaat-sementara-tunggu-jalan-raya-reda" akan bangkitlah ayat itu. "K banyak duit, duit yang ada tak larat nak pikul." Ujar Kak Nab sambil ketawa kecil bagai selalu setiap kali katalog perabot kayu jati itu jadi perbincangan.
Malas untuk mengulas dan memberi penerangan lanjut, aku jawab, "Duit syiling mana larat nak pikul."
Yang aku maksudkan sebenarnya dosa, fitnah, ujian dan soal jawab duit itu nanti yang tak larat nak dipikul. Siapalah pula yang nak pikul duit ke sana ke mari.
Hai, rindu pula hidup di Langkawi, ayat-ayat macam ini ada yang dengan mudah menangkap maksudnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan