Khamis, 17 Disember 2009

hijrah 1431

Setiap kali munculnya tahun baru, kesayuan sering kali singgah. Gegak gempita guruh di langit terasa sendu sang alam melambai pergi tahun 1430. Hujan yang mencurah-curah sebaik sahaja doa akhir tahun dipanjatkan bagai air mata alam yang menangis atas pemergian 1430. Hujan yang mencurah-curah itu juga sebagai simbolik membersihkan segala 'kekotoran' tahun 1430 dan tahun yang baru ini tersedia dengan azam dan kehidupan yang lebih baik.

Muncul 1431 bermakna bertambah setahun lagi usia, bertambah dekat menuju ke penghujung nyawa, menyingkatkan masa untuk berjuang sebagai manusia, semakin singkat juga masa untuk menambah pahala.

Kelalaian-kelalaian lalu dikeluhi tanpa mampu ditarik kembali. Namun kekesalan yang singgah tidak pernah mahu menghuni hati. Seketika gelak ketawa kembali menceria dan taubat samar-samar antara kabur dan nyata.

Tuhanku, Ya Allah. Kupanjatkan setinggi kesyukuran atas keizinanMu untuk aku terus bernafas sebagai manusia Islam dalam tahun baru ini.
Tuhanku Ya Ghafur. Kupinta sejuta keampunan atas dosa-dosaku yang lalu agar aku menjadi hambaMu yang lebih baik tahun baru ini.
Tuhanku, Ya Rahman. Perkenankan dan terimalah segala kebaikan yang telah dan akan aku laksanakan sebagai hambaMu.
Tuhanku, Ya Hadi. Kupohon segala rahmat dan hidayahMu agar aku menjadi seorang aku yang terbaik sepanjang tahun baru ini.
Tuhanku, Ya Muqtadir. Kuharap engkau tentukan kehidupan yang lebih baik untukku pada masa kini dan akan datang.
Amin. Amin Ya Rabbil 'Alamin.

Sabtu, 5 Disember 2009

tunggu = sabar

"Kerana sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan. Sesungguhnya bersama setiap kesulitan ada kemudahan." Surah Insyirah (5-6)

“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” Al Baqarah (216)

Dalam Facebook aku tulis;
Hikmah, bagai fajar setelah gelita malam... bagai pelangi setelah gerimis... bagai cahaya di hujung terowong yang gelap...

Aku jumpa di sebuah blog (setelah aku edit);

"Aku minta Tuhan setangkai bunga yang indah, diberinya kaktus berduri. Aku minta kupu-kupu yang cantik, diberinya ulat berbulu. Aku sedih dan kecewa. Namun kemudian, kaktus yang berduri tajam tadi berbunga indah sekali. Ulat yang berbulu tadi bertukar menjadi rama-rama yangg cantik. Begitulah aturan Tuhan. Indah pada waktu dan ketikanya"

(Sayangnya penulisannya membuatkan keinginan untuk membaca tidak berpanjangan kerana kependekan yang keterlaluan dan ada rasa yang merobek-robek hati. Rasa kecewa kerana bahasa Melayu yang indah dihancur-lumatkan sesuka hati.)