Ahad, 30 Januari 2011

Belikan aku Interlok

Sebelum 1 Januari muncul, heboh dalam kelompok mesyuarat pelarasan itu tentang novel yang bakal dikaji oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 kawasan Kuala Lumpur (dan yang sewaktu dengannya) ditarik balik kerana unsur-unsur perkauman yang terkandung di dalamnya. Sedang aku masih tercari-cari novel kajian tingkatan 5 di daerah aku, tiba-tiba berita ini muncul. Antara endah dengan tidak aku dengar angin-angin percakapan daripada mereka yang lebih mengetahui.

Setelah kembali ke rumah, berita tentang penarikan semula novel itu terpapar di kaca televisyen. Aku yang pada mulanya tidak begitu berminat tiba-tiba rasa begitu ingin menyelak karya sasterawan negara itu walaupun novel yang sepatutnya aku baca baru separuh perjalanannya. Aku ingin melihat sejauh mana kedangkalan orang-orang bergelar di negara aku ini menilai karya sastera. Aku ingin melihat sejauh mana paranoia orang-orang kita dalam membuat penilaian tentang maruah dan darjat bangsa. Aku ingin melihat sejauh mana semangat asabiyah kaum-kaum di negara aku ini. Aku ingin melihat betapa mudahnya orang-orang di negara aku mempercayai apa yang dilaporkan tanpa berkeinginan untuk melihat sejauh mana betul salahnya laporan itu...

Selasa, 4 Januari 2011

berikan aku diari... ku tulis setiap hari

*masih belum berkesempatan menyapu debu dan sawang...

Orang-orang atasan sekali lagi mengunakan sistem kapitalis dengan mewajibkan kami orang-orang bawah memiliki diari Rm18.00 itu. Diari berkulit tebal, dijilid dengan 'spring' dan ketebalan yang sama dengan buku rancangan mengajar itu, tanpa rela, aku beli juga. Beberapa rakan sejawat 'mengulas' sambil menghulurkan wang RM18.00,"Diari 2006 pun belum habis tulis lagi."

Diari berwarna perang itu aku campak ke meja sambil mengomel,"Lebih baik depa kutip je 18 hinggit sorang daripada paksa ceq beli diari berat ni. Dah beli, kena le usung pi mai pi mai. Kang jatuh menzalimi plak."

Dan tadi satu bungkusan daripada agen insurans sampai ke meja aku. Arghh..... Diari lagi...

Ahad, 2 Januari 2011

setahun kemudian

Lebih setahun...

Tanpa sawang dan debunya disapu, kelonsong ini aku jengah lagi. Setelah lebih setahun berbicara di facebook, blog ini ditinggal tanpa jejak. Hari ini... malam ini... sebelum esok kembali bertugas dengan cara dan kaedah baru, dengan matlamat dan mungkin azam baru, kelongsong ini sekali lagi ditagih terapinya.

Kata mereka setelah kerikil dan tunggul berduri ditempuh, setelah mendaki setinggi ini, penat, lelah dan kesakitan yang dihadapi sepanjang pendakian itu akan lenyap setelah pemandangan indah kita nikmati. Ya... pada ketika kelelahan masih menguasai dada, cungapan masih merobek-robek rengkung... pemandangan itu memang ubat paling mujarab. Kepuasan meyaksikan keindahan itu menelan kesesakan dan kelelahan. Namun setelah nafas makin tenang, peluh tidak lagi kelihatan, kenapa kaki bukit pula yang jadi idaman? Kenapa tiba-tiba terasa gayat dan ingin semula turun ke bawah? Kenapa tiba-tiba pemandangan ini tidak lagi secantik tadi? Kenapa tiba-tiba rasa kosong, setelah pemandangan ini sekadar mampu dilihat tidak mampu dicapai oleh tangan...