Khamis, 17 Disember 2009

hijrah 1431

Setiap kali munculnya tahun baru, kesayuan sering kali singgah. Gegak gempita guruh di langit terasa sendu sang alam melambai pergi tahun 1430. Hujan yang mencurah-curah sebaik sahaja doa akhir tahun dipanjatkan bagai air mata alam yang menangis atas pemergian 1430. Hujan yang mencurah-curah itu juga sebagai simbolik membersihkan segala 'kekotoran' tahun 1430 dan tahun yang baru ini tersedia dengan azam dan kehidupan yang lebih baik.

Muncul 1431 bermakna bertambah setahun lagi usia, bertambah dekat menuju ke penghujung nyawa, menyingkatkan masa untuk berjuang sebagai manusia, semakin singkat juga masa untuk menambah pahala.

Kelalaian-kelalaian lalu dikeluhi tanpa mampu ditarik kembali. Namun kekesalan yang singgah tidak pernah mahu menghuni hati. Seketika gelak ketawa kembali menceria dan taubat samar-samar antara kabur dan nyata.

Tuhanku, Ya Allah. Kupanjatkan setinggi kesyukuran atas keizinanMu untuk aku terus bernafas sebagai manusia Islam dalam tahun baru ini.
Tuhanku Ya Ghafur. Kupinta sejuta keampunan atas dosa-dosaku yang lalu agar aku menjadi hambaMu yang lebih baik tahun baru ini.
Tuhanku, Ya Rahman. Perkenankan dan terimalah segala kebaikan yang telah dan akan aku laksanakan sebagai hambaMu.
Tuhanku, Ya Hadi. Kupohon segala rahmat dan hidayahMu agar aku menjadi seorang aku yang terbaik sepanjang tahun baru ini.
Tuhanku, Ya Muqtadir. Kuharap engkau tentukan kehidupan yang lebih baik untukku pada masa kini dan akan datang.
Amin. Amin Ya Rabbil 'Alamin.

Tiada ulasan: