Jumaat, 19 Jun 2009

kerana takdir Tuhan

Biasalah lepas kembali ke sekolah setelah dua minggu bercuti dan baru sahaja selesai mengumpul dan menganalisa markah Peperiksaan Pertengahan Tahun, akan bercambahlah forum-forum tidak rasmi cikgu-cikgu sekolah aku tidak kira di kantin atau di bilik guru.

Bukan sedikit masalah yang timbul selepas cuti. Pasal markah satu hal, pasal pergaduhan di Kamunting satu hal dan pasal moral beberapa orang pelajar Melayu tingkatan 3 dan 4 juga bertambah satu lagi isu yang perlu dibahaskan di forum-forum tidak rasmi. Yang paling hangat tentunya tentang prestasi pelajar dalam PPT ini. Ya, sekarang masa untuk tuding menuding. Sebelum bos tuding kami, kami tuding dia dulu dalam forum-forum kami.

Sebaik sahaja bos muncul di lorong sebelah dewan menghala ke kantin, kami ahli-ahli forum pakat-pakat angkat punggung. Tiada siapa yang sudi untuk menemani bos menjamu selera. Nasib baik baru sahaja tutup topik forum lepas jari telunjuk kami masing-masing sepakat menunjuk ke arah dia sebagai penyandar tanggungjawab.

Elok sahaja masuk ke bilik guru Cikgu Kamal dan Cikgu Azis sedang membincangkan topik yang sama. Cikgu Azis begitu bersungguh-sungguh mencari punca pelajar kami yang tidak pernah berubah tidak kira apa sahaja program yang dilaksanakan. “Salah kitakah? Salah sistemkah? Salah pelajarkah?” Kata Cikgu Azis sambil berpusing-pusing di kerusinya.

“Takdir Tuhan,” sampuk aku belum sempat Cikgu Kamal memberi ulasan.

“Hang ni K. Terjelepuk aku. Macam bagi bola tanggung,” Cikgu Azis menyeringgai.

Cikgu Kamal nampak sedikit berubah wajahnya. Tidak semena-mena mencadangkan satu lagi program yang diketuai oleh aku kepada KP BM. Marahlah tu.

“Relaxlah Cikgu Kamal. Tak ‘kan marah kot?” Aku senyum-senyum bergerak ke kelas.

Memang niat aku cuma bersenda. Dan sampai kini aku masih tersenyum sendiri teringat wajah Cikgu Kamal dan ‘bola tanggung’ Cikgu Azis, tapi jauh di sudut hati itulah apa yang aku rasa sekarang. Tuding menuding kepada Tuhan? Tidak. Siapalah aku? Rasa putus asa? Pasrah kot yang lebih tepat. Semua ini satu ketentuan yang merupakan ujian untuk semua warga pendidik di sekolah aku. Forum-forum yang berbahas ini tidak lebih daripada terapi untuk kami sama-sama berdiri kembali. Kembali memberi fokus dan tumpuan bahawa PMR lebih kurang 4 bulan sahaja lagi dan SPM pun tidak berapa lama lagi akan muncul… walaupun harapannya seakan makin menipis…

Tiada ulasan: