Selasa, 21 Oktober 2008

Kaki kami yang terpasak di bumi...

dan tangan kami yang terikat ke langit. Mulut kami disumbat kain... cuma mata kami yang terkebil-kebil melihat dan sesekali ada ginang hening yang tumpah...

Setelah beberapa hari pengumuman oleh Timbalan Menteri Pelajaran tentang hukuman rotan di khalayak ramai tidak akan dilaksanakan, seorang guru di Perlis membuat laporan polis apabila seorang pelajar perempuan menyepak perutnya berkali-kali. Sungguh ironi. Menurut laporan akhbar guru itu diserang kerana telah menegur (mungkin juga menghukum) pelajar itu yang tidak menyiapkan tugasannya.

Kalaulah ikut pekeliling yang baru sahaja diuar-uarkan dalam mesyuarat lembaga disiplin sekolah (aku), cikgu muda itu mungkin payah dibela. Tetapi tindakannya membuat laporan polis kejadian tersebut adalah tindakan yang tepat. Apabila perkara ini dibawa keluar daripada budi bicara sekolah, peluang guru muda itu untuk menegakkan keadilan lebih luas.

Di dalam persekitaran sekolah. guru persis pengasuh (PATI) yang dibayar gaji untuk membela anak-anak majikan. Anak majikannya mesti ditatang bagai minyak yang penuh. Jangan ada calar sedikit pun. Segala tindakan yang boleh mendatangkan kesakitan (hati dan fizikal) adalah tidak dibenarkan sama sekali. Guru bukan lagi pendidik, yang niat menghukumnya untuk mendidik dan niat menegurnya juga untuk mendidik.

Bagaimana anak-anak ini hendak tahu yang mana salah dan yang mana betul kalau tidak langsung boleh ditegur? Bagaimana jati diri anak-anak ini akan tekal dan ampuh kalau tidak dicuba dan diduga?

Bagaikan musim yang berputar setiap kali hampir ke penghujung penggal persekolahan dan tamat sahaja peperiksaan PMR, pasti gejala-gejala salah laku ini jadi isu di media. Pasti selepas ini timbul pula isu anak-anak sekolah yang baru selesai PMR, ponteng dan berkeliaran di luar kawasan sekolah. Dan jari telunjuk yang satu itu pun dituding-tuding lagi, guru juga yang bakal memikul kesalahan terbanyak. Saban tahun isu-isu ini akan berulang dan berulang tanpa ada penyelesaiannya dan guru yang memang sedang memendam rasa melihat kerenah "anak-anak asuhan" mereka, bertambah tertekan dengan "majikan-majikan" mereka dan pemerhati-pemerhati yang mudah sekali menjatuhkan hukuman.

Tiada ulasan: