kelongsong jiwa
Notelun perjalanan seorang aku...
Jumaat, 18 Mei 2012
Benih baik
Kata pepatah; 'benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke darat menjadi gunung'. Jadilah benih yang baik. Biarlah kalau ada 'kapal terbang' yang hilang kerana kau tiba-tiba muncul. Biarlah kalau ada 'kapal' yang tenggelam kerana kau tiba-tiba timbul. Bukan salah engkau bila mereka tidak mengemas kini data radar mereka...
Selasa, 13 Mac 2012
*sigh*
Aku mencari 'suiz-lampu-idea-macam-citer-kartun' untuk kembali menulis seperti ini... kat manalah suiz itu menghilang??
“Wow! What's a surprise anniversary present!” Suara itu bergema ceria. Entah bagaimana jasad kerdil itu mampu membendung rasa hati yang menyala-nyala dan membuak-buak? Wajahnya masih begitu. Pinggan yang hampir terlepas dari tangan tadi dipegang erat. Rasa terkejut dan mata yang mula berpasir dapat disembunyikan.
Wajah Farhan berkerut menahan rasa hairan yang bukan sedikit. Penerimaan itu memang di luar jangkaannya sama sekali. Apa yang terbayang di ruang mata, sebelum kertas putih itu diunjuk kepada isterinya itu langsung tidak berlaku. Dia fikir pasti isterinya akan menengking marah atau sekurang-kurangnya menangis sayu sambil merayu. Ditenungnya sang isteri dengan tenungan tidak percaya. Azrina terus menuju ke meja meletakkan dua biji pinggan yang di tangannya ke atas meja makan.
“Dengan siapa?” Suaranya masih bernada sama.
Farhan yang masih terkejut dengan penerimaan Azrina terkedu, tidak mampu menjawab. Segala ayat karangan untuk alasan yang telah siap dihafal sejak semalam bercempera hilang dek reaksi sang isteri. Tetiba hatinya membuak marah. Entah kenapa?
“Abang dah jumpa dengan mak ayahnya?” Sambung Azrina kemudiannya sambil berlalu untuk menceduk nasi ke dalam mangkuk nasi. Matanya sekali lagi berpasir. Ada air hangat mula berkumpul di ekor matanya. Dikedip-kedip matanya beberapa kali menghalau genangan yang bakal berlinang.
Perkahwinan yang bakal menyambut ulang tahun yang kelapan, dua minggu lagi sedang dilanda gelombang besar. Perkara yang memang diduga sekian lama berlaku hari ini.
Farhan masih terus diam membeku. Kini hatinya berubah rasa, niat asalnya berubah hala. Tiba-tiba egonya jadi runtuh, rasa marah pula yang membuak-buak di hati. Rasa sedih turut memenuhi ruang hatinya. Azrina, wanita pertama yang dia cintai, masih mampu ceria dengan pemintaan yang bisa mencalarkan mana-mana hati wanita lain.
“Tiada lagikah sayangnya untukku?” Begitu pula yang terdetik di hati lelaki yang tercalar egonya. Atau sememangnya ini yang ditunggu untuk merungkai ikatan yang sekian lama longgar? Atau ada lelaki lain yang sedang menanti?
“Duduklah bang, kita makan dulu.” Suara Azrina masih lembut seperti biasa, bagai tiada apa yang berlaku. Dibiarkan dahulu segala rasa dan persoalan yang bergayutan dibenaknya. Hatinya tak henti-henti memanjat syukur atas anugerah ketabahan milik Tuhan yang menebal di dadanya. Hatinya tidak berhenti-henti berdoa agar rasa marah dan sedih yang menendang-nendang dada mampu ditahannya sehingga rezeki di hadapan mereka bisa dinikmati.
“Duduklah. Makanlah apa yang ada ni. Ini saja yang Rin sempat masak. Ada kes tadi di hospital.” Ujar Azrina sambil menceduk nasi ke pinggan suaminya. Farhan masih tercegat memandang jemari Azrina yang lincah bekerja.
“Abang...” Panggil Azrina sekali lagi, lembut sambil memandang tepat ke wajah suaminya yang masih kaku berdiri.
Baru Farhan duduk. Matanya terkebil-kebil memandang antara pinggan nasi dan wajah tenang sang isteri.
“Ikan? Sayur?” Suara Azrina terus tenang, dia duduk menghadap suaminya.
“Tak apalah. Abang buat sendiri.” Ayat pertama yang keluar dari dua ulas bibir Farhan kedengaran gugup. Azrina hanya memandang lauk pauk di hadapannya, melihat reaksi Farhan yang masih terus memilih hidangan yang tiga jenis di meja makan itu.
Selama mereka menikmati hidangan makan malam itu, tiada suara yang kedengaran selain bunyi lagaan pinggan dan sudu. Masing-masing diam tidak bersuara. Tidak banyak yang mampu dihabiskan oleh kedua-duanya. Nasi di pinggan Azrina hampir separuh bersisa. Farhan yang selalunya bertambah sekurang-kurangnya sekali, hanya menghabiskan nasi yang diceduk Azrina.
Setelah selesai menjamu selera, Farhan masih berteleku di meja makan. Azrina lincah mengemas pinggan mangkuk di atas meja.
“Abang nak air?” Suara lunak itu menyentuh gegendang telinga Farhan. Hatinya dilanda rasa bersalah yang bukan sedikit.
“Erm. Boleh juga.” Balas Farhan, memandang tubuh sang isteri yang sedang membelakangkannya menghadap ke sinki. Tubuh tinggi lampai itu cukup sempurna pada matanya. Tubuh yang menjadi milik mutlaknya hampir lapan tahun lalu, kini ingin diduakan. Pengkhianatkah dia? Selagi lagi persoalan kesal menerjah hatinya yang telah cair keegoannya.
Secawan Neslo kesukaan suaminya diletak sopan di atas meja di hadapan suaminya.
“Minumlah.” Ujarnya sambil duduk di bangku hadapan suaminya. Dia diam merenung wajah suaminya yang nampak keruh. Wajah senyum gugup di awal kehadirannya di ruang dapur itu tadi hilang entah ke mana.
“Rin tak minum sama.” Tanya Farhan dengan nada yang masih gugup.
“Abang ni, mana pernah Rin minum minuman manis malam-malam macam ni.” Balas Azrina sambil tersenyum, sedang hatinya tercalar. Kebiasaan yang dilupai suaminya ketika dia masih lagi terikat antara janji ijab dan qabul. Jika nanti simpulan antara ijab dan qabul itu terungkai, mungkin diri ini terus dilupai.
Senyum kecewa yang dilempar oleh Azrina mampu dibaca Farhan, dan sekali lagi rasa bersalah menendang-nendang hati. Hanya senyum tawar dan anggukan lemah membalas ujaran Azrina tadi. Air yang ditelan tiba-tiba rasa pahit, tersekat perjalanannya di kerongkong. Dia berdehem dan terbatuk beberapa kali.
“Dah tak sedapkah air yang Rin buat?” Suara itu lembut dan lemah, menghantar lagi rasa bersalah ke hati Farhan.
“Bukan. Panas.” Jawabnya ringkas.
Azrina bangun dan berlalu ke arah peti sejuk. Kertas putih yang diletaknya di situ dicapai dan ditenungnya. Borang itu masih kosong belum berisi. Dia kembali duduk di hadapan suaminya. Nafasnya ditarik dalam-dalam mengumpul tenang dan menghapus walang.
Farhan yang masih menghirup minuman terkedu melihat kertas putih di tangan isterinya. Kini dia pula dilanda debar. Tangan sang isteri laju menulis sesuatu di borang kosong itu. Seketika kemudian borang yang diisi dengan butir-butir dirinya diunjuk ke hadapan suaminya.
“Rin dah isi segala maklumat Rin, tapi Rin tak sign lagi. Rin hanya tandatangan lepas abang tandatangan surat taklik yang akan Rin bagi esok.” Ujar suara lembut itu tenang.
“Rin!” Farhan terkejut dengan tindakan Azrina. Dalam lembut, dia mampu bertindak sejauh ini.
“Surat taklik itu akan menyatakan, yang perkahwinan ini akan terbatal sebaik sahaja abang lafaz qabul abang di hadapan wali pengantin perempuan isteri kedua abang.” Suara itu masih lembut dan tenang.
“Rina!” Farhan terbangun dari kerusinya. Wajahnya tegang menatap sang isteri yang masih tenang duduk di kerusi.
“Rin dah tak sayang abang?” Itu pula yang terluah.
“Siapa yang dah tak sayang siapa?” Ujar suara lembut itu, senyum yang menghiasi bibir comel itu terlihat sinis di mata Farhan.
“Kenapa Rin tak kata yang Rin tak setuju? Kenapa Rin perlu bertindak sehingga kita…” Farhan tidak sanggup melafaz perkataan tersebut.
“Abang berhak dan mungkin juga mampu. Cuma Rin yang tak mampu jadi isteri abang. Jadi ini pilihan paling baik. Kalau abang persoalkan tentang rasa sayang dan cinta Rin, rasa itu masih di sini.” Ujar Azrina dan membawa jari telunjuknya ke dada.
“Dan kerana sayang dan cinta itu juga, Rin minta abang lepaskan Rin dengan cara terhormat. Biar antara kita tiada sengketa. Dengan cara ini Rin dapat kenang abang sebagai anugerah Tuhan yang paling berharga pernah Rin miliki.” Genangan air matanya sudah mula kelihatan, suaranya bergetar menahan sebak.
“Rin sengaja buat abang rasa bersalah.” Ujar sang lelaki yang egonya telah lunyai diinjak rasa bersalah.
Azrina tunduk, air mata yang mula berjurai turun disekanya dengan hujung jari. Rasa bersalah? Sekadar rasa bersalah, tidakkah dia benar-benar bersalah? Desiran hati isteri akhir zaman sepertinya.
“Kenapa pula abang nak rasa bersalah? Apa pun sebab abang untuk kahwin sekali lagi, Rin tetap benarkan dengan syarat…” Ujaran Azrina terhenti di situ.
“Teruskanlah niat abang, tiada apa yang menghalang.” Sambung Azrina lalu bangun dan bergerak meninggalkan ruang dapur menuju ke bilik. Air matanya terus laju mengalir.
Rabu, 16 Februari 2011
Istiqomah
Nak buat 'jahat' pun kena istiqomah, apa lagi nak buat baik.
Aku, terasa hati dengan 'orang besar'.
Lalu, berpatah arang dan berkerat rotanlah dengan segala yang menyebabkan aku terasa hati, kononnya.
Tapi, apabila simpati dan kasihan bertandang, rotannya entah ke mana, arangnya sudah jadi abu.
Kawasan itu aku jejak juga. Padang itu aku jenguk juga. Budak-budak itu aku jeling juga. Bola itu aku pegang juga.
Tiba-tiba, ingin kembali menjerit,"Benteng turun, benteng turun". "Naik, naik, naik." " Tikus ready."
Arghh... istiqomahku hancur lagi.

Ahad, 30 Januari 2011
Belikan aku Interlok
Sebelum 1 Januari muncul, heboh dalam kelompok mesyuarat pelarasan itu tentang novel yang bakal dikaji oleh pelajar-pelajar tingkatan 5 kawasan Kuala Lumpur (dan yang sewaktu dengannya) ditarik balik kerana unsur-unsur perkauman yang terkandung di dalamnya. Sedang aku masih tercari-cari novel kajian tingkatan 5 di daerah aku, tiba-tiba berita ini muncul. Antara endah dengan tidak aku dengar angin-angin percakapan daripada mereka yang lebih mengetahui.
Setelah kembali ke rumah, berita tentang penarikan semula novel itu terpapar di kaca televisyen. Aku yang pada mulanya tidak begitu berminat tiba-tiba rasa begitu ingin menyelak karya sasterawan negara itu walaupun novel yang sepatutnya aku baca baru separuh perjalanannya. Aku ingin melihat sejauh mana kedangkalan orang-orang bergelar di negara aku ini menilai karya sastera. Aku ingin melihat sejauh mana paranoia orang-orang kita dalam membuat penilaian tentang maruah dan darjat bangsa. Aku ingin melihat sejauh mana semangat asabiyah kaum-kaum di negara aku ini. Aku ingin melihat betapa mudahnya orang-orang di negara aku mempercayai apa yang dilaporkan tanpa berkeinginan untuk melihat sejauh mana betul salahnya laporan itu...

Selasa, 4 Januari 2011
berikan aku diari... ku tulis setiap hari
*masih belum berkesempatan menyapu debu dan sawang...
Orang-orang atasan sekali lagi mengunakan sistem kapitalis dengan mewajibkan kami orang-orang bawah memiliki diari Rm18.00 itu. Diari berkulit tebal, dijilid dengan 'spring' dan ketebalan yang sama dengan buku rancangan mengajar itu, tanpa rela, aku beli juga. Beberapa rakan sejawat 'mengulas' sambil menghulurkan wang RM18.00,"Diari 2006 pun belum habis tulis lagi."
Diari berwarna perang itu aku campak ke meja sambil mengomel,"Lebih baik depa kutip je 18 hinggit sorang daripada paksa ceq beli diari berat ni. Dah beli, kena le usung pi mai pi mai. Kang jatuh menzalimi plak."
Dan tadi satu bungkusan daripada agen insurans sampai ke meja aku. Arghh..... Diari lagi...

Ahad, 2 Januari 2011
setahun kemudian
Lebih setahun...
Tanpa sawang dan debunya disapu, kelonsong ini aku jengah lagi. Setelah lebih setahun berbicara di facebook, blog ini ditinggal tanpa jejak. Hari ini... malam ini... sebelum esok kembali bertugas dengan cara dan kaedah baru, dengan matlamat dan mungkin azam baru, kelongsong ini sekali lagi ditagih terapinya.
Kata mereka setelah kerikil dan tunggul berduri ditempuh, setelah mendaki setinggi ini, penat, lelah dan kesakitan yang dihadapi sepanjang pendakian itu akan lenyap setelah pemandangan indah kita nikmati. Ya... pada ketika kelelahan masih menguasai dada, cungapan masih merobek-robek rengkung... pemandangan itu memang ubat paling mujarab. Kepuasan meyaksikan keindahan itu menelan kesesakan dan kelelahan. Namun setelah nafas makin tenang, peluh tidak lagi kelihatan, kenapa kaki bukit pula yang jadi idaman? Kenapa tiba-tiba terasa gayat dan ingin semula turun ke bawah? Kenapa tiba-tiba pemandangan ini tidak lagi secantik tadi? Kenapa tiba-tiba rasa kosong, setelah pemandangan ini sekadar mampu dilihat tidak mampu dicapai oleh tangan...

Khamis, 17 Disember 2009
hijrah 1431
Setiap kali munculnya tahun baru, kesayuan sering kali singgah. Gegak gempita guruh di langit terasa sendu sang alam melambai pergi tahun 1430. Hujan yang mencurah-curah sebaik sahaja doa akhir tahun dipanjatkan bagai air mata alam yang menangis atas pemergian 1430. Hujan yang mencurah-curah itu juga sebagai simbolik membersihkan segala 'kekotoran' tahun 1430 dan tahun yang baru ini tersedia dengan azam dan kehidupan yang lebih baik.
Muncul 1431 bermakna bertambah setahun lagi usia, bertambah dekat menuju ke penghujung nyawa, menyingkatkan masa untuk berjuang sebagai manusia, semakin singkat juga masa untuk menambah pahala.
Kelalaian-kelalaian lalu dikeluhi tanpa mampu ditarik kembali. Namun kekesalan yang singgah tidak pernah mahu menghuni hati. Seketika gelak ketawa kembali menceria dan taubat samar-samar antara kabur dan nyata.
Tuhanku, Ya Allah. Kupanjatkan setinggi kesyukuran atas keizinanMu untuk aku terus bernafas sebagai manusia Islam dalam tahun baru ini.
Tuhanku Ya Ghafur. Kupinta sejuta keampunan atas dosa-dosaku yang lalu agar aku menjadi hambaMu yang lebih baik tahun baru ini.
Tuhanku, Ya Rahman. Perkenankan dan terimalah segala kebaikan yang telah dan akan aku laksanakan sebagai hambaMu.
Tuhanku, Ya Hadi. Kupohon segala rahmat dan hidayahMu agar aku menjadi seorang aku yang terbaik sepanjang tahun baru ini.
Tuhanku, Ya Muqtadir. Kuharap engkau tentukan kehidupan yang lebih baik untukku pada masa kini dan akan datang.
Amin. Amin Ya Rabbil 'Alamin.

Langgan:
Catatan (Atom)